‘Masa menjadi asas’ Nur Qamarynna Kamarudin

Uncategorized

English Version

Masa bergerak terlalu pantas dan artikel ini merupakan tugasan terakhir yang perlu saya selesaikan  sebelum saya meninggalkan firma guaman ini. Satu bulan yang sungguh mencabar namun sangat memberi inspirasi kepada saya yang merupakan pelajar praktikal di Alex Chang & Co. Namun begitu, saya tetap menikmati masa yang terluang  di sini bagi menimba ilmu dan pengalaman baru.

MASA ITU EMAS

Sewaktu hari pertama saya berada di sini, saya mendapati bahawa setiap saat yang akan diluangkan dalam masa bekerja di firma ini adalah sangat berharga dan tidak boleh dibazirkan begitu sahaja. Setiap tugasan yang diberikan hendaklah dijalankan dengan serius dan betul. Oleh itu, sekiranya anda tidak memahami arahan yang telah diberikan kepada anda, adalah lebih baik untuk anda memastikan kesahihan arahan tersebut dengan bertanya kepada individu yang mengarahkan anda melakukan sedemikian. Hal ini kerana sekiranya anda terus meluangkan masa untuk memikirkan kesahihan arahan tersebut, anda pasti tidak akan boleh melangsaikan tugasan tersebut. Maka, bak kata pepatah Melayu, sediakan payung sebelum hujan.

TINDAKAN YANG EFISIEN

Semasa minggu kedua saya berada di sini, saya berpeluang untuk menghadiri perbicaraan bersama Tuan Chang dan beberapa ahli firma yang lain di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi. Melalui pengalaman ini, saya mempelajari bahawa tindakan yang efisien adalah kunci kejayaan seseorang peguam dalam arena ini. Sebagai seorang peguam, anda perlu berfikir dan bertindak secara efisien dalam apa jua keadaan. Saya sangat terdorong dengan sikap Tuan Chang dan Cik Lim menggunakan masa yang ada sewaktu kami dalam perjalanan ke Istana Kehakiman di Putrajaya untuk “meramal” soalan yang bakal diajukan oleh hakim sewaktu perbicaraan nanti. Saya berasa hanya yang terbaik boleh melakukan seperti mereka.

BERJUANGLAH UNTUK KESEMPURNAAN

“Bilakah tugasan awak boleh dijangka siap?” merupakan soalan yang kerap ditanyakan oleh Tuan Chang selepas beliau mengagihkan tugasan kepada pasukan beliau. Memandangkan setiap kes mempunyai garis masa yang telah ditetapkan, Mr Chang selalu meletakkan standard yang tinggi untuk setiap tugasan yang diberikan kepada pasukannya kerana Mr Chang percaya hakim di mahkamah tidak akan menerima perkara yang tidak mencukupi atau kurang. Jangan terkejut, hal ini terpakai juga kepada anda walaupun anda hanyalah seorang pelajar praktikal! Di sinilah saya mengasah kemahiran saya untuk membilang tugas dan memprioritikan tugasan yang diberikan kepada saya. Saya sangat berterima kasih kepada CIk An Ni, Cik Jaryne, Cik Janice dan Cik Chow kerana mereka selalu bersama saya untuk melazimkan saya dengan format dan SOP bagi setiap tugasan yang diberikan.

BUMI MANA YANG TIDAK DITIMPA HUJAN

Sebagai penutup bicara, memandangkan masa menjadi asas, saya percaya bahawa dalam proses membaiki dan membangunkan diri kita, kita hendaklah memahami dan menerima dengan hati yang terbuka bahawasanya sesetengah pengajaran yang bermakna harus dipelajari melalui cara yang sukar. Belajarlah dari kesilapan masa lampau anda. Bermula dari tugasan seharian yang biasa sehinggalah tugasan yang paling penting di pejabat, saya mendapati bahawa terdapat banyak sebab, pengajaran dan nilai di sebalik setiap tugasan yang diberikan. Ia mungkin tidak bererti bagi sesetengah orang namun bagi saya, saya merasakan sebab, pengajaran dan nilai inilah yang penting untuk membentuk peribadi saya yang masih muda dan mempunyai pandangan yang terhad terhadap banyak perkara. Tuan Chang pernah bertanya pada saya jika latihan praktikal yang sedang saya jalani ini telah membawa apa-apa manfaat buat saya dan masih segar di ingatan saya, saya menjawab dengan sebuah “ya”. Sejujurnya, pengalaman berkerja di firma guaman Alex Chang & Co. telah mendidik saya melebihi apa yang saya perlu pelajari sebagai seorang bakal peguam. Latihan praktikal ini telah mengajar saya betapa pentingnya keberadaan setiap individu di dalam sesebuah firma guaman. Maka, saya harus bekerja dengan tekun sebagai seorang peguam dan haruslah merendah diri sebagai seorang manusia biasa di luar sana.

UCAPAN APRESIASI

Memandangkan masa saya bersama firma Alex Chang & Co. semakin suntuk, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tuan Chang atas peluang yang diberikan kepada saya untuk menimba pelbagai ilmu dan pengalaman baru di Alex Chang & Co. Kepada Cik Lim, Cik Chow, Cik Janice dan Cik Elaine, terima kasih juga untuk segala tunjuk dan saya berasa amat bertuah kerana dapat bertemu dengan kalian.

Akhir sekali, terima kasih kepada Cik An Ni dan Cik Jaryne kerana selalu melayan kerenah saya. Saya amat berharap kita dapat berjumpa lagi di masa akan datang dan saya sungguh tidak sabar untuk melihat kalian memakai jubah hitam yang sangat eksklusif itu!

Selamat tinggal dan terima kasih untuk segalanya.

Nur Qamarynna Kamarudin

Universiti Teknologi MARA, Shah Alam

Share this page: